Assalamualaikum readers. *waving
Aku baru habis kerja (ye, acah kerja dekat pejabat). Jadi, alang alang kerja intern aku untuk harini dah siap and aku dah submit report, aku rasa macam nak menulis sikit. Apa yang aku nak tulis ni, saja saja la aku nak buat kenangan dalam blog ni. Aku rasa aku makin lupa, jadi aku kena tulis haha!
Semalam adik aku check UPU. Alhamdulillah rezeki dia dapat jurusan kedoktoran dan pembedahan di USIM. Orang yang paling gembira mestilah umi dengan abi. Allah kurniakan kami rezeki mempunyai seorang ahli keluarga bakal doktor hafizah. Semoga Allah permudahkan perjalanan adik. Aku gembira untuk dia. Jalan dia sebenarnya adalah perancangan yang abi dan umi impikan untuk anak sulung mereka, tapi bila aku tak mampu, dia yang galas. Amanah berat tu, hafizah + doktor. Fuh. Aku sendiri tahu aku memang tak mampu. Pun begitu, aku tetap gembira untuk diri sendiri. Aku bersyukur sangat sangat dengan jalan yang Allah hamparkan buat aku. *Tiba tiba sebak kenapa T.T
Alright. Panjang benar mukaddimah post ni. Sebelum aku ke bahagian seterusnya, aku nak mintak maaf awal awal sebab post aku memang panjang macam karangan. Sebenarnya tujuan utama aku menulis nak bercerita dan simpan kenangan. Tapi, aku nak selitkan jugak tips tips yang aku rasa boleh digunakan.
Apa yang aku nak cerita adalah kisah yang dilempar belakang. Kisah ni 3 tahun yang lalu sewaktu aku semak keputusan ijazah sarjana muda. Waktu first attempt, aku GAGAL dapat tawaran dari mana mana universiti. Waktu tu aku tak nangis langsung. Mungkin sebab terlalu terkejut dengan 'kegagalan' pertama sepanjang aku hidup.

Buat rayuan UPU
1. Jadi, berbekalkan kekuatan yang ada, aku cuba buat rayuan UPU. Aku nak jugak masuk uni! Aku tak boleh mengalah sebelum berjuang. Waktu tu hanya dibenarkan memilih 4 jurusan. Aku masih ingat lagi pilihan yang ada kebanyakkannya jurusan dari UKM, beberapa jurusan dari UMT, Unisza, UTHM, dan lain lain (banyak kos yang aku tak tahu sebenarnya wujud. Fuh, betapa cetek betul pemikiran aku waktu tu). Kalau tak silap aku, pilihan yang ditawarkan tu kebanyakkannya adalah sebab nak mengisi kekosongan. Tapi jangan risau, kos lelong tak wujud sama sekali! Semua kos tu ada kebaikannya tersendiri, kalau tak kenapa ia diwujudkan? Jangan dimomokkan dengan pemikiran negatif begini ya.
2. Sebelum aku pilih, aku banyak buat research tentang 4 kos yang aku nak letak semasa rayuan. Untuk pilihan kali ni, aku hanya pilih 1 sahaja bidang sains. Yang 3 tu semua bidang bahasa dan TESL. Kali ni aku kena sedar diri. Dulu tak sedar diri sikit je sebab banyak letak kos yang berkaitan bio walaupun aku tahu persaingan sengit. Haha!
Tips isi rayuan UPU
1. Jangan pilih kos pendidikan kalau tak ambik medsi.
2. Jangan lupa buat research juga tentang kos-kos ni. Boleh juga ke website universiti. Dekat situ ada diterangkan maklumat mengenai kos.
Untuk bahagian ni, aku rasa tak ada masalah sebab kos yang ditawarkan memang betul-betul ikut kelayakan kita. Cuma, jangan lupa buat research. Pastikan kos yang dipilih tu kita rasa kita boleh bawak walaupun kita kurang minat. Macam aku dulu, AKU TAK MINAT ENGLISH. Tapi bila letak dan banding dengan kos yang lain, akhirnya, majoriti yang dipilih adalah bahasa.
Tips tambahan:
Jangan lupa solat istikharah. Rezeki ada di mana-mana. Sekarang bukan masa untuk pilih tempat yang dekat, course yang diminati atau apa apa je lah preference kita. Kalau dapat, itu semuanya rezeki. Yang penting, kita dapat sambung belajar. Kita tak tahu masa depan kita. Kadang-kadang kita tak nampak apa sebenarnya cabang kita. Mungkin jugak inilah caranya kita mengetahui cabang sebenar. Perancangan Allah tu cantik :)
Tulis surat rasmi rayuan permohonana Universiti
Ha, ni part paling aku suka. Selain menunggu keputusan rayuan, aku juga hantar 4 surat kepada 4 program yang aku pilih dalam rayuan UPU. Kesemuanya ditulis dalam bahasa Inggeris. Yang paling aku ingat adalah surat kepada UPM dan UKM untuk program pengajian TESL dan ELS (English language studies - kos aku sekarang). Aku guna penghantaran paling ekspres (sehari dua dah sampai) sebab surat tu perlu sampai ke ketua program sebelum keputusan rayuan keluar.
Dalam surat tu, sertakan juga:
- Salinan IC sendiri and penjaga
- Salinan slip / sijil SPM, STPM/MATRIK/DIPLOMA, MUET, Kokurikulum
- Salinan slip gaji penjaga. Jika takda slip gaji, buat pengesahan pendapatan
KESEMUA SALINAN PERLULAH DISAHKAN oleh Pegawai Kerajaan Gred 41 ke atas (dahulunya dipanggil kumpulan A). Senarai pegawai boleh je google.
Aku sertakan sekali surat rayuan universiti yang aku tulis dulu.
Beberapa hari sebelum keputusan rayuan keluar, aku dapat panggilan daripada ketua program untuk kos aku sekarang, Dr Kemboja. Kalau tak silap aku, dia hanya tanya sama ada aku ambik medsi atau tidak sebelum isi UPU dulu. Sekarang baru aku faham, kalau aku ambik dan lulus medsi, aku akan diletakkan dibawah jurusan TESL (pendidikan) bukan ELS (bahasa).
Proses untuk bahagian ni aku rasa macam tak ramai orang buat. Entah entah aku je yang terlebih gigih tak tentu hala haha! Bagi aku, tak salah nak buat surat rayuan dan hantar ke ketua program. Mungkin semua tu nampak macam sia sia. Tapi, mungkin juga boleh jadi added value dari segi kesungguhan. Yang penting kita usaha semampu boleh!
Keputusan rayuan UPU
Waktu tu aku semak guna SMS je sebab nak cepat. Alhamdulillah, akhirnya aku dapat kos yang aku tengah ambik sekarang, BA English Language Studies di UKM. Siapa sangka bila buat rayuan, aku dapat UKM? UKM tu memang tak pernah terlintas dalam fikiran. Sebab untuk UPU dulu aku hanya mintak universiti di kawasan Timur macam Unisza, UMK, UMT dan lain-lain.
////
Jadi, harapan aku untuk post ni, semoga ia dapat bantu mereka yang lalui apa yang aku pernah lalui dulu.
Sebenarnya, banyak lagi cabang pengajian jika tak dapat masuk Universiti. Kalau cari dalam google, banyak lagi haluan yang kita boleh pilih. Cumanya, untuk post aku ni, aku nak fokus kepada mereka yang betul betul nak pursue degree, bukan cabang lain.
Yang penting, jangan bandingkan mana mana cabang. Walau apa pun cabang yang kita pilih, semua tu ilmu. Tidak rugi orang yang menuntut ilmu.
Okay, sampai sini saja post kali ini. Semoga Allah permudahkan jalan buat kita semua.
ps// Aku tak tau nak letak tajuk apa, jadi aku bedal je la ye. Yang penting isinya gituu.
Fafa Kyraa


Comments
Post a Comment
Assalamualaikum
Feel free to put your thoughts here XD